7 Jun 2010

Selfish (penting diri sendiri): antara pandangan HATI, NAFSU dan MATERIAL (kebendaan)

Di mulut yakin bahawa Allah itu Maha Mendengar tetapi mulut masih seronok memperkatakan kelemahan dan aib orang lain.

Selalu kita jumpa orang yang sebegini dalam kehidupan kita. Sememangnya tiada manusia yang sempurna. Namun kesempurnaan itu boleh dipupuk sekiranya ada tegur-menegur yang berhemah antara kita. Bukan lah terus mengumpat mencela mereka. Mungkin kita tidak seperti mereka. Tapi kita yang rasa "bagus semacam" tidak kah terfikir lebih buruk dari mereka ini. Diumpamakan orang yang mencela saudaranya atau sahabatnya, terutama yang beragama Islam adalah seperti memakan bangkai busuk. Tapi kerana nafsu dan tidak menggunakan akal fikiran yang waras semua itu terlindung di sebalik "gossip".

Dalam Islam tidak pernah ada hal ber "gossip" ini melainkan mengumpat dan mencela. Ini kerana perkara seperti ini boleh meruntuhkan ukhuwah dan juga menyebabkan fitnah. Ini banyak berlaku. Tidak kira dalam institusi keluarga, pejabat, politik, mahupun negara. Sesama Islam mencela dan memfitnah sesama sendiri seperti menjadi suatu kebiasaan. Inilah akibat jika hidup hanya berkepentingan sendiri dan hanya cintakan dunia. Bukankah melindungi aib seseorang itu adalah lebih baik.


Sebagai seorang Hamba, jika kita tahu hidup ini hanya ujian semata-mata, maka kita perlu sedar semua orang adalah sedang diuji. Termasuk kita. Jadi semuanya ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Mungkin seseorang itu ada kelemahan dalam sesuatu hal tapi tidak dalam hal lain-nya. Maka di sini pentingnya untuk kita bermuhasabah. Kenapa kita menghadapi perkara seperti ini. Tidak lain tidak bukan hanya sebagai ujian untuk memperkukuh Iman kita.


Saya sendiri pun tidak sempurna. Banyak kekhilafan yang perlu diperbetulkan. Hanya kawan yang tulus dan saudara yang faham sahaja yang sanggup memberi peluang untuk kita semua berubah kepada yang lebih baik.


"Allah Ciptakan 2 Mata untuk kita melihat kelebihan orang lain dan menginsafi serta muhasabah kelemahan diri sendiri"


Tapi manusia jarang sekali nampak kelemahan sendiri. Kesalahan dan kelemahan orang lain dulu yang ingin di cari. Semata-mata untuk kepuasan hati dan juga kepentingan sendiri. Memang sukar untuk kita bergabung di bawah paksi Islam sekiranya umat Islam hari ini berterusan menghukum saudaranya sendiri hanya sesuatu kelemahan yang ada pada diri seseorang.


Biasa kita lihat dalam institusi kekeluargaan, ibu bapa lebih mencanangkan anak-anak mereka yang keluar dari Universiti, anak mereka yang dapat 5A dalam UPSR, atau berbelas berpuluh A dalam sesuatu peperiksaan. Manakala anak yang kurang berhasil dalam pelajaran ini dipandang enteng dan ada kalanya tidak diberi perhatian. Hinggakan ada yang memburukkan anak sendiri kepada jiran dan sebagainya. Bukankah mereka maklum yang anak itu juga adalah cermin kepada diri mereka.


Saya juga agak terkilan dengan sikap sesetengah manusia yang beragama Islam ini sering juga menidakkan keberhasilan anak mereka yang kurang cemerlang dalam pelajaran. Padahal dari segi lain seperti ilmu agama dan akhlak adalah lebih baik. Saya bukan nak kata semua tapi segelintir yang ada.

Satu lagi manusia zaman sekarang ni hanya nampak dan pandang material (kebendaan) semata-mata. Ini boleh dilihat dari segi sesuatu kenduri perkahwinan yang diadakan. Persoalan yang timbul bukannya pengantin itu alim kah, atau kuatkah pegangan agamanya, tapi berapa hantaran, kerja apa itu yang menjadi persoalan pokok.

Sememangnya kebendaan itu penting juga untuk meneruskan hidup akan tetapi, bersederhana itu adalah lebih baik. Tuhan telah berjanji untuk permudahkan jalan bagi mereka yang dalam kesulitan. Janji siapa lagi yang harus kita pegang?

* Sekadar renungan untuk diri sendiri - Wan Abey



No comments: