"Demi Allah, tidak
ada ganti yang lebih baik dari dia, yang beriman kepadaku saat semua orang
ingkar, yang percaya kepadaku ketika semua mendustakan, yang mengorbankan semua
hartanya saat semua berusaha mempertahankannya dan ... darinyalah aku
mendapatkan keturunan."
Begitulah Rasulullah saw berkata tentang kepribadian
Khadijjah, istrinya. Seorang isteri sejati, muslimah yang dengan segenap
kemampuan dirinya berkorban demi kejayaan Islam.
Siti Khadijah berasal dari keturunan yang terhormat,
mempunyai harta kekayaan yang tidak sedikit serta terkenal sebagai wanita yang
tegas dan cerdas. Bukan sekali dua kali pemuka kaum Quraisy cuba untuk
mempersunting dirinya. Tetapi pilihannya justru jatuh pada seorang pemuda yang bernama
Muhammad, pemuda yang begitu mengenal harga dirinya, yang tidak tergiur oleh
kekayaan dan kecantikan.
Saidatina Khadijah RA merupakan wanita pertama beriman
kepada Allah dan Rasul-Nya. Beliau banyak membantu dan memperteguhkan tekad
Rasulullah SAW melaksanakan risalah dakwah. Beliau sentiasa berusaha
meringankan kepedihan hati dan menghilangkan keletihan serta penderitaan yang
dialami oleh suaminya dalam menjalankan tugas dakwah. Inilah keistimewaan dan
keutamaan Khadijah dalam sejarah perjuangan Islam. Beliau adalah sumber
kekuatan yang berada di belakang Rasulullah SAW.
KESETIAAN YANG BERSEJARAH
Mari kita singkap kembali peristiwa yang sungguh mendebarkan
jantung Rasulullah SAW. Peristiwa itu ialah penerimaan wahyu yang pertama di
Gua Hira. Sekembalinya ke rumah, baginda berkata kepada isterinya yang
tercinta, Aku berasa khuatir terhadap diriku.
Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata, Wahai kekanda, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kekanda adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab. Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah.
Khadijah berusaha menabahkan hati suami yang ditaatinya dengan berkata, Wahai kekanda, demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakanmu kerana sesungguhnya kekanda adalah orang yang selalu memupuk dan menjaga kekeluargaan serta sanggup memikul tanggungjawab. Dirimu dikenali sebagai penolong kaum yang sengsara, sebagai tuan rumah yang menyenangkan tamu, ringan tangan dalam memberi pertolongan, sentiasa berbicara benar dan setia kepada amanah.
Apakah ada wanita lain yang dapat menyambut sedemikian baik
peristiwa bersejarah yang berlaku di Gua Hira seperti yang dilakukan oleh
Khadijah kepada suaminya? Apa yang dikatakan oleh Khadijah kepada suaminya pada
saat menghadapi peristiwa besar itu menunjukkan betapa besarnya kepercayaan dan
kasih sayang seorang isteri kepada suami yang dilandasi iman yang teguh.
Sedikit pun Khadijah tidak berasa ragu-ragu atau syak di dalam hatinya.
Persoalannya, dapatkah kita berlaku demikian?
Khadijah merupakan wanita kaya dan terkenal. Beliau boleh
hidup mewah dengan hartanya sendiri. Namun semua itu dengan rela dikorbankannya
untuk memudahkan tugas-tugas suaminya. Hal ini jelas menunjukkan beliau
merupakan wanita yang mendorong kemajuan pahlawan umat manusia, melindungi
pejuang terbesar dalam sejarah dengan mewujudkan kedamaian dalam kehidupan
suaminya. Sikap inilah yang menjadi sumber kekuatan kepada Rasulullah SAW
sepanjang kehidupan mereka bersama. Oleh itu, kita perlu berdoa semoga Allah
memberi kita kekuatan untuk membantu menguatkan semangat jihad golongan lelaki
yang seangkatan dengan kita.
KESETIAAN YANG MENDORONG KEGIGIHAN
Mari kita teliti, fahami serta hayati beberapa gambaran
kesetiaan Khadijah yang telah membina kekuatan pada diri dan kehidupan penegak
risalah Islam itu.
Sepanjang hidupnya bersama Rasulullah SAW, Khadijah begitu
setia menyertai baginda dalam setiap peristiwa suka dan duka. Setiap kali
suaminya ke Gua Hira, beliau pasti menyiapkan semua bekalan dan keperluannya.
Seandainya Rasulullah SAW agak lama tidak pulang, beliau akan meninjau untuk
memastikan keselamatan baginda. Sekiranya baginda khusyu bermunajat, beliau
tinggal di rumah dengan sabar sehingga baginda pulang. Apabila suaminya mengadu
kesusahan serta berada dalam keadaan gelisah, beliau cuba sedaya mungkin
mententeram dan menghiburkannya sehingga suaminya benar-benar merasai
ketenangan. Setiap ancaman dan penganiayaan dihadapi bersama. Malah dalam
banyak kegiatan peribadatan Rasulullah SAW, Khadijah pasti bersama dan membantu
baginda seperti menyediakan air untuk mengambil wuduk.
Kecintaan Khadijah bukanlah sekadar kecintaan kepada suami,
sebaliknya yang jelas adalah berlandaskan keyakinan yang kuat tentang keesaan
Allah SWT. Segala pengorbanan untuk suaminya adalah ikhlas untuk mencari
keredaan Allah SWT. Allah Maha Adil dalam memberi rahmat-Nya. Setiap amalan
yang dilaksanakan dengan penuh keikhlasan pasti mendapat ganjaran yang
berkekalan. Firman Allah yang bermaksud:
Barang siapa yang mengerjakan amalan saleh, baik lelaki
mahupun wanita dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan
kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada
mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.
(An-Nahl: 97)
Janji Allah itu pasti benar. Kesan kesetiaan Khadijah bukan
sekadar menghasilkan kekuatan yang mendorong kegigihan dan perjuangan
Rasulullah SAW, malah membawa barakah yang besar kepada rumah tangga mereka
berdua. Anak-anak yang lahir juga adalah anak-anak yang saleh. Keturunan zuriat
ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan insan yang sentiasa taat melaksanakan
perintah Allah SWT. Semua ini menghasilkan kekuatan yang membantu meningkatkan
perjuangan Islam.
Wahai muslimah, sekarang adalah masa untuk kita hidupkan
kembali hakikat ini dalam kehidupan kita. Semoga kekuatan Islam akan kembali
mentadbir kehidupan insan.
p/s: masih adakah insan sepertinya? (-_- )
No comments:
Post a Comment